Forgot / Reset Password  

CASE OF THE WEEK

 

Tort: Kecuaian - Kecuaian perubatan - Kewajipan berjaga-jaga - Plaintif pertama dilahirkan dengan kecacatan berterusan - Sama ada doktor gagal memenuhi standard kewajipan berjaga-jaga - Sama ada kecederaan dibuktikan berlaku semasa plaintif pertama dalam jagaan, pengurusan dan kelolaan doktor

Tort: Kecuaian - Kecuaian perubatan - Penyebab - Keterangan melalui saksi pakar - Sama ada keterangan dibantah - Sama ada penyebab dibuktikan atas imbangan kebarangkalian

Tort: Kecuaian - Liabiliti secara vikarius - Kecuaian perubatan - Sama ada defendan kedua bertanggungan secara vikarius atas kecuaian oleh defendan pertama - Sama ada liabiliti atas kecuaian dibuktikan


CHUNG CHU YIN & YANG LAIN lwn. DR JIMMY TANG SEK CHEONG & SATU LAGI
MAHKAMAH TINGGI MALAYA, KUALA LUMPUR
ROSILAH YOP PK
[GUAMAN NO: S4-22-1413-2005]
2 DISEMBER 2011

Plaintif pertama ('Samantha') adalah seorang budak yang menuntut melalui bapa dan sahabat wakilnya, Chung Shan Yong (plaintif kedua). Plaintif kedua dan plaintif ketiga ('SP1') telah mendapatkan khidmat defendan pertama, seorang pakar Obstetrician dan Gynecologi di Gleneagles Intan Medical Centre Kuala Lumpur (Gleneagles), yang dimiliki oleh defendan kedua untuk penjagaan SP1, semasa dan selepas melahirkan Samantha. Walau bagaimanapun, Samantha mengalami kecacatan yang serius dan kekal semasa dilahirkan di hospital defendan kedua dan dalam kehadiran defendan pertama. Semasa SP1 dimasukkan ke wad, terdapat kelewatan yang berterusan, antara lain, semasa proses pendaftaran, kemasukan ke wad dan semasa menukar pakaian wad SP1. Samantha telah dilahirkan secara forceps selepas percubaan menggunakan vacuum extractor gagal apabila alat tersebut tidak berfungsi. Samantha dilahirkan dalam keadaan tidak bernafas dan beliau disedarkan atau dipulihkan 10 minit kemudian dan pada masa tersebut kerosakan telahpun berlaku pada Samantha. Samantha berada di dalam koma tiga hari berikutnya. Kecederaan yang dialami oleh Samantha semasa kelahirannya didiagnoskan sebagai cerebral palsy iaitu asymmetrical dystonic - spastic diplegia. Plaintif memplidkan kecuaian oleh defendan pertama dan defendan kedua.

Diputuskan (defendan-defendan cuai sepenuhnya ke atas kecederaan dan kerosakan yang dialami plaintif-plaintif dan mengawardkan ganti rugi)

(1) Mahkamah menerima keterangan SP3, seorang pakar dalam bidang sakit puan dan berpengalaman luas, mengenai penyebab kerana keterangannya berasas dan berotoritatif. Malah, defendan pertama dan kedua tidak membantah kepakaran SP3. Dengan itu, plaintif telah membuktikan faktor mengenai penyebab atas imbangan keberangkalian. (perenggan 32-36)

(2) Sebagai seorang doktor atau pengamal perubatan yang terlibat secara terus dalam proses kelahiran Samantha, tidak boleh dipertikaikan bahawa defendan pertama mempunyai kewajipan berjaga-jaga terhadap Samantha. Walau bagaimanapun, defendan pertama telah tidak memenuhi standard kewajipan berjaga-jaga yang diperlukan bagi seorang doktor yang bertanggungjawab dalam kelahiran Samantha. Sementara itu defendan kedua telah gagal dalam tugas untuk menggunakan kemahiran yang munasabah, penjagaan dan pengurusan serta pengelolaan dan memberi kemudahan dan memastikan peralatan perubatan yang wajib dan diperlukan ke tahap kegunaan yang sesuai. Ia juga gagal memberikan perkhidmatan pediatric neonatal dengan sempurna dan kakitangan yang kompeten seperti yang dikehendaki dan diharapkan daripada defendan kedua. (Foo Fio Na v. Dr. Soo Fook Mun & Anor, dirujuk; Rogers v. Whitaker, dirujuk) (perenggan 42, 43 & 111)

(3) Dari keterangan-keterangan yang dikemukakan di dalam kes ini, kecederaan yang berlaku ke atas Samantha adalah di peringkat intra partum dan selepas Samantha dilahirkan dan berada di dalam jagaan, pengurusan dan kelolaan defendan pertama dan defendan kedua. (perenggan 91)

(4) Kecederaan yang berlaku kepada Samantha adalah disebabkan oleh kecuaian yang diakui oleh defendan pertama sendiri. Ketinggalan dan kelengahan (delay) yang dilakukan oleh defendan pertama dan defendan kedua merupakan kecuaian yang dilakukan oleh defendan pertama dan defendan kedua sehinggakan menyebabkan kecederaan ke atas Samantha. Juga kelewatan menekan Pink Code apabila Samantha didapati berada di dalam keadaan kritikal dan kecemasan selepas dilahirkan dan kelewatan peditrician telah menyumbang lagi pada kecuaian defendan pertama dan defendan kedua. (perenggan 102-103 & 107-108)

(5) Atas imbangan kebarangkalian plaintif-plaintif telah berjaya membuktikan tuntutannya dari segi liabiliti terhadap defendan-defendan dan dengan itu defendan-defendan cuai sepenuhnya atas kecederaan dan kerosakan yang dialami oleh plaintif-plaintif. Defendan kedua secara vikarius adalah bertanggungan atas kecuaian yang dilakukan oleh defendan pertama. Oleh demikian plaintif-plaintif berhak kepada gantirugi. (Roe v. Minister of Health, dirujuk) (perenggan 112 & 116-119)

(6) Samantha sewajarnya dilahirkan sebagai kanak-kanak normal jika tidak kerana kecuaian defendan pertama dan kedua. Beliau memerlukan banyak bantuan untuk lebih selesa dan berhak untuk hidup seperti kanak-kanak normal. Untuk itu beliau memerlukan peralatan bantuan, rawatan khas dan perubatan. Dengan itu adalah wajar beliau dibenarkan gantirugi untuk masa depan beliau. (perenggan 151-155)

[Gantirugi sebanyak RM350,000 diawardkan kepada plaintif.]

Kes-kes yang dirujuk:

Admiralty Commissioners v. SS Susquehanna [1926] AC 655 (refd)

Ervina Talam v. Othman Baba [2008] 1 PIR 34 (refd)

Foo Fio Na v. Dr Soo Fook Mun & Anor [2007] 1 CLJ 229 FC (foll)

Johore State Economic Development Corp v. Queen Bee Sdn Bhd [1995] 1 LNS 298 HC (refd)

Lee Sau Kong v. Leow Cheng Chiang [1960] 1 LNS 56 HC (refd)

Leng Yang Sua & Anor v. Ng Yen Kee & Anor [1986] 1 CLJ 338; [1986] CLJ (Rep) 448 HC (refd)

Ong Ah Long v. Dr S Underwood [1983] 2 CLJ 198; [1983] CLJ (Rep) 300 FC (refd)

Roe v. Minister of Health [1954] 2 QB 66 (refd)

Rogers v. Whitaker (1992) 175 CLR 479 (foll)

Whitehouse v. Jordan & Anor [1980] 1 All ER 650 (refd)

Perundangan yang dirujuk:

Evidence Act 1950, s. 102

Counsel:

Bagi pihak plaintif-plaintif - S Periasamy (K Pasupathy & M Kumar bersamanya); T/n Maha & Peri

Bagi pihak defendan pertama - Dato' Dominic J Puthucheary (Sharon Palani bersamanya); T/n Puthucheary

Bagi pihak defendan kedua - S Murali; T/n Khoo & Sidhu

Dilaporkan oleh Emm Zehra

 
Copyright © 2014 CLJ Legal Network Sdn Bhd (192353 V)
Email:enquiries@cljlaw.com Tel: 03-4270 5421(D/L) 03-4270 5400 Fax: 03-4270 5402